Wednesday, June 24, 2020

PEMIMPIN BERJIWA KOMUNITI: YANG BERHORMAT DATO' HAJI LAMIEN BIN SAWIYO

Oleh: Nur Afiqah Binti Mohamed Bakary

 

Lemah lembut dan tegas. Itulah karakter yang jelas dipamerkan pada insan bernama Yang Berhormat Dato' Haji Lamien Bin Sawiyo. Rupanya yang ringkas, rendah diri dan bijak menjadi pelindung kepada dirinya yang mempunyai pelbagai cabang pengalaman dan  kerjaya beliau. Mengikuti kisahnya, beliau mula berkhidmat pada tahun 1981 di Unit Perancangan Lebuh Raya, Kementerian Kerja Raya selama 5 tahun. Menurut beliau, pada masa tersebut tiada lagi pembinaan lebuh raya dan  perancangan tersebut bermula dari tindakan Unit Perancangan Lebuh Raya kerana pada masa itu tiada lagi penubuhan Lembaga Lebuh Raya dan setiap perancangan terhadap pembinaan lebuh raya diambil alih oleh unit tersebut. Kemudian beliau ditukarkan ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia selama 5 tahun juga sebelum beliau menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat. 

Pada tahun 1991 hingga 1993 iaitu selama 2 tahun beliau berehat seketika dari berkhidmat untuk menyambung pengajian beliau di peringkat Sarjana dalam bidang Polisi Awam di Universiti Indiana Bloomington. Setelah selesai pengajian selama 2 tahun, beliau berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahagian latihan / biasiswa pada tahun 1993 hingga 2002. Seterusnya dari tahun 2002 hingga 2005 beliau ditempatkan di kabinet Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pada pertengahan tahun 2005 beliau diarah untuk berkhidmat semula ke JPA bahagian latihan / biasiswa sehinggalah ke tahun 2008 sebagai Pengarah Bahagian Latihan. Pada tahun 2008, beliau telah ditukarkan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan memegang jawatan sebagai Setiausaha SPA sehingga tahun 2012. Selama 2 tahun iaitu dari 2012 hingga 2014, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen Malaysia dan jawatan terakhir yang disandang oleh beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Suruhanjaya Koperasi Malaysia dari tahun 2015 hingga 2016.

 

Berkhidmat dalam pelbagai bidang dan merupakan penduduk terawal di kawasan kediaman SS7 ini adalah antara pendorong utama Dato' Haji Lamien dipilih oleh komuniti setempat untuk menjadi pengerusi bagi Kawasan Rukung Tetanga (KRT) di SS7 ini.Mengikuti kisahnya,  beliau adalah antara penduduk terawal yang mendiami kediaman di SS7, Petaling Jaya ini iaitu pada bulan Oktober 1986. Awal pembangunan kawasan perumahan ini tiada lagi Lebuh raya Damansara - Puchong tetapi hanya ada kawasan pokok getah sahaja pada tahun tersebut. Sempadan kawasan perumahan adalah antara SS7/13 hingga SS8/2. Jumlah bilangan rumah di kawasan SS7 ini adalah sebanyak 700 buah rumah dan ia termasuk rumah bungalow, semi-d, teres dua tingkat dan teres satu tingkat manakala anggaran jumlah penduduk di kawasan kediaman SS7 ini adalah dalam lingkungan 3,000 hingga 4,000 orang. 

KRT SS7 telah ditubuhkan pada tahun 2010 dan dikawal selia oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). KRT juga ditubuhkan dibawah Akta Rukun Tetangga 2012. Merujuk kepada Dato' Haji Lamien, KRT SS7 ini akan membuat pelantikan jawatankuasa pada setiap 2 tahun sekali. Peringkat awal, pemilihan akan dibuat bersama melalui mesyuarat agong dan setelah diputuskan, senarai nama jawatankuasa tersebut akan dikemukakan ke JPNIN untuk mendapat pengesahan. Dato' Haji Lamien mula menjadi pengerusi pada tahun 2018 - 2019 untuk penggal pertama (1)  dan kemudian disambung untuk penggal kedua (2) iaitu 2020 - 2021. Ketika beliau mula memegang jawatan Pengerusi KRT SS7 ini, perkara pertama yang beliau telah laksanakan adalah dengan menggerakkan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) pada tahun 2018 sehingga kini. 

Beliau berkata kebiasaannya pihak KRT akan menjalankan rondaan pada pukul 8pm hingga 11pm tetapi tindakan itu kurang memberi kesan dan atas sebab itu, beliau telah mengambil inisiatif dengan memutuskan agar rondaan dibuat selepas pukul 12am hingga 5am sahaja. Tambahan beliau kawasan kediaman SS7 ini mempunyai jalan keluar masuk yang banyak dan ini mengundang risiko berlaku kes pecah masuk rumah. Keadaan ini juga mendorong beliau dengan mencadangkan jalan keluar masuk dibuka kepada empat (4) jalan keluar masuk sahaja selepas pukul 12am. Permohonan untuk membuka kepada empat (4) jalan keluar masuk telah dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendapat kebenaran bagi melaksanakan cadangan tersebut.

Rondaan dilakukan oleh sukarelawan iaitu penduduk kediaman SS7 ini dan sukarelawan tersebut terdiri dari gabungan orang lama dan muda serta pelbagai kaum. Gabungan ini sebagai salah satu inisiatif bagi mengeratkan hubungan jalinan antara komuniti di SS7 ini. Menurut beliau, setelah dilaksanakan SRS ini, tiada lagi kes jenayah pecah masuk rumah dilaporkan di kawasan kediaman ini seperti yang telah berlaku beberapa tahun sebelumnya dimana terdapat laporan oleh komuniti setempat berkenaan kes jenayah tersebut. Keadaan ini memberi gambaran positif terhadap usaha pihak KRT dengan melaksanakan SRS di kawasan ini meskipun usia program ini masih lagi muda. 

 

Pentadbiran memudahkan rakyat, jangan memudahkan pentadbir. Itulah kata-kata yang dipegang sepanjang dirinya berkhidmat di sektor kerajaan dan juga sehingga kini sebagai pengerusi KRT SS7. Kata-kata beliau memberi tafsiran mengenai dirinya dimana beliau lebih mudah dan suka jika setiap urusan antara dirinya bersama orang awam atau komuniti setempat dapat diselesaikan dengan segera tanpa memberi bebanan kepada mereka yang berurusan dengannya. Keadaan ini selari dengan salah satu riwayat iaitu "Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat." (Hadis Riwayat Muslim). Inilah salah satu contoh ikon yang boleh kita ikuti dan karakternya seperti peramah, merendah diri dan tidak sombong itu boleh diterapkan dalam diri setiap individu agar manfaatnya dapat diguna sehingga akhir hayat.

 

 

 

Yang Berhormat Dato' Haji Lamien sedang berucap di Program Gotong Royong Perdana LengkoK Golf  SS7 Kelana Jaya dan turut dihadhiri oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya,  Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia dan Ahli Majlis Zon 22 MBPJ.   

                                                     

                            Yang Berhormat Dato' Haji Lamien sedang berucap di 
                                              Sambutan Ambang Merdeka 2019

   


Pembersihan bersama komuniti setempat SS7 Kelana Jaya

 


                                Carta Organisasi KRT Lengkok Golf SS7 Kelana Jaya

  


Antara petugas bagi Skim Rondaan Sukarelawan SS7 Kelana Jaya

 


Sesi Taklimat Banteras Denggi oleh MBPJ 
bersama komuniti SS7 Kelana Jaya 

 


Cabin / Pondok bagi KRT SS7 Kelana Jaya

 



"PENTADBIRAN MEMUDAHKAN RAKYAT,

 JANGAN MEMUDAHKAN PENTADBIR"

                                                           Yang Berhomat Dato' Haji Lamien Bin Sawiyo, 2020

 


No comments:

Post a Comment

ARWAH ‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT

ARWAH ‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT Penyayang dan berwibawa, itulah bagaimana seorang Ikon Komuniti yang bern...