Oleh : Ahmad Arifin bin Shakimin
Bersahaja atau ‘sempoi’ mengikut loghat utara merupakan
personaliti yang ditampilkan oleh Yang Berhormat Muhammad Faiz bin Fadzil.
Sikap mesra melalui berseloroh bukan sahaja dalam kalangan kawan dan masyarakat
sahaja, bahkan dalam kalangan seteru politknya juga. Penampilan seperti orang
awam serta individu yang tidak mementingkan protokol dan layanan rasmi dalam
urusan sehariannya termasuk urusan kerja menyebabkan beliau mudah didekati oleh
sesiapa sahaja. Beliau yang mempunyai susur galur kekeluargaan dengan tokoh
ilmuan dan pemimpin dimana sebuah dewan dinamakan sempena nama bapanya Almarhum
Yang Berhormat Ustaz Fadzil Muhammad Noor.
YB Faiz Fadzil Muhammad Noor, ADUN Permatang Pasir
Serba sedikit berkaitan
kehebatan keluarga ini selain daripada ketokohan dan sumbangan almarhum bapanya
di persada tanah air, beliau juga mempunyai adik beradik yang tidak kurang
hebatnya. Bak kata pepatah Melayu, ‘bapa borek anak rintik’. Beliau merupakan
putera kelima daripada lapan (8) orang anak Almarhum Ustaz Fadzil Muhammad
Noor. Beliau mempunyai seorang adik diberi nama Ahmad Fauwaz, seorang tokoh
ilmuan yang banyak menghiasi slot bual bicara agama di televisyen seperti Astro
Al-Hijrah dan corong-corong radio seperti IKIM.
Sejarah panjang arwah bapanya
yang sudah menempa nama di utara tanah air dengan hasil didikan yang baik
keatasnya, beliau memulakan perjalanan pengajiannya di menara gading pada tahun 1996
dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1999. Beliau merangkul segulung Ijazah
Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
di Fakulti Ahmad Ibrahim Kulliyah of Law
(AIKOL). Beliau memulakan kariernya dalam bidang perundangan dengan menubuhkan
Faiz Fadzil & Co pada tanggal 4 Mac 2008, firma guaman beliau sendiri
terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau telah mempunyai pasangan hidup
yang bernama Noralis binti Mat dan dikurniakan dua (2) cahaya mata, seorang
putera dan seorang puteri.
Keterlibatan beliau secara
aktif di lapangan sejak 2014, beliau berjaya membina nama dan watak yang
menjadi penyumbang kepada penamaan beliau sebagai calon Pilihanraya Umum ke-14
pada tahun 2018. Beliau berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang
Pasir di Negeri Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 sekaligus
meneruskan legasi ketokohan bapanya di kawasan utara semenanjung Malaysia.
Rentetan daripada itu beliau mendapat kepercayaan mengepalai sebuah agensi
kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Oktober 2019. Perlantikan ini dilaksanakan
oleh pihak kementerian berdasarkan merit dan kaliber yang ada pada sosok tubuh
Yang Berhormat Faiz Fadzil.
Ketika beliau menyandang posisi sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Oktober 2018, beliau telah menyusun peningkatan bagi skim Bantuan Sara Hidup buat para nelayan di seluruh Malaysia. Bantuan Sara Hidup yang pada asalnya pada kadar RM200 berjaya ditingkatkan kepada RM250 bagi seorang nelayan di seluruh negara dalam tempoh lapan (8) bulan kelolaannnya. Amalan pemberian Bantuan Sara Hidup ini merupakan usaha yang disambung dari pengurusan sebelumnya. Adapun penambahbaikan demi penambahbaikan dijalankan bagi memastikan bantuan kepada komuniti nelayan dipertingkat dan diperkuat.
Majlis Ramah Mesra dan Sumbangan Touch Point Pukat Kepada Nelayan Manjung Selatan
Antara usaha lain yang
dijalankan semasa kendalian beliau di LKIM adalah menamatkan amalan ‘orang tengah’ dalam menguruskan hasil
pendaratan ikan di kalangan nelayan dan perkenalkan amalan ‘family bussines’. Amalan sebelum ini
adalah setiap nelayan akan menyerahkan hasil pendaratan ikan kepada orang
tengah dimana mereka akan mengagihkan hasil tersebut di pasar-pasar sekitar
dengan pengiraan untung yang sangat minima bagi setiap tan hasil pendaratan ikan. Hasil
daripada itu, setiap nelayan dipohon untuk meminta bantuan isteri atau ahli
keluarga yang sudi menjualkan hasil pendaratan ikan tersebut supaya pendapatan
yang diperoleh hasil jualan dapat dimaksimakan setimpal dengan usaha yang digembeleng di tengah lautan. LKIM mengambil inisiatif setiap
jeti wajib mempunyai pasar tersendiri dan ini sekaligus memberi impak ekonomi
dari aspek peningkatan per kapita penduduk khusus nelayan dan mengurangkan kadar
pengangguran.
Manakala dari sudut beliau sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, di bawah kendalian beliau terdapat 12 Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK). Kesemua MPKK diketuai oleh ketua kampung dimana mereka menjadi penghubung atau penyampai makluman kepada Pejabat DUN perihal keperluan penduduk. Antara amalan kebiasaan yang diteruskan dari pendtabiran sebelumnya adalah menyediakan fasiliti yang boleh digunapakai, disewa dengan harga yang murah atau dipinjamkan bagi keperluan penduduk. Antara kemudahan yang disediakan oleh pihak ADUN adalah seperti kanopi bagi kegunaan majlis kenduri, doa selamat dan sebagainya bagi penduduk kampung yang disewakan atau dipinjamkan. Fasiliti-fasiliti ini diperkukuhkan dan juga keluh-kesah masyarakat lebih diambil cakna dan lebih membumi.
Antara
peranan lain yang dimainkan oleh YB Faiz Fadzil sebagai ADUN Permatang Pasir,
beliau mensasarkan generasi baru di Permatang Pasir adalah sifar jahil. Sasaran
ini adalah menyasarkan golongan muda khusus di bangku sekolah dengan membuka akses
pendidikan kepada mereka. Usaha yang dijalankan seperti Tuisyen Rakyat Percuma.
usaha ini sudah dijalankan selama dua (2) tahun sejak beliau mengambil alih
kerusi DUN Permatang Pasir sejak 2018 hingga kini. Menjadikan usaha ini lebih
holistik dan segar adalah kerana kerjasama yang beliau inisiatifkan bersama
sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dianggotai sebilangan anak muda yang diberi nama Penggerak Komuniti
Muda (PEKA) berpengkalan di Pulau Pinang. Para guru diambil dalam kalangan warga tempatan yang sudi mengajar
diluar waktu pembelajaran dan sebahagian guru juga adalah dalam kalangan
graduan yang masih segar keluar dari kampus. Segala pembiayaan adalah usaha
yang digerakkan oleh beliau sendiri sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Poster Hebahan dan Promosi Tuisyen Rakyat Percuma Di Permatang Pasir
Akhir kata, “politik nilai mengangkat agenda baik kepada
rakyat dan betul untuk negara”. Demikian merupakan kalam Yang Berhormat Faiz
Fadzil, ADUN Permatang Pasir yang dapat dinukilkan dan menjadi rumus kepada
penulisan ini. Kalam ini menjadi pandu arah kepada setiap tingkah mengurus dan
mentadbir masyarakat dengan baiknya dan batu sempadan kepada sebarang salah
laku, korupsi dan culas pada amanah masyarakat.
No comments:
Post a Comment