ARWAH
‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT
Penyayang dan berwibawa, itulah
bagaimana seorang Ikon Komuniti yang bernama Allahyarham Suhaimi atau dahulunya
panggilan mesranya Tok Ngulu Mi. Arwah merupakan salah seorang ikon komuniti
yang pada hemat saya sendiri merupakan pemimpin atau Ketua Penghulu yang memang
mementingkan kebajikan masyarakat terutamanya yang dari golongan keluarga yang
susah. Penampilan dan gaya yang cukup bersahaja dan mudah mesra dengan
masyarakat, baik yang tua mahupun yang muda. Ketelusan Arwah apabila
melaksanakan tanggungjawab perlu dicontohi oleh pemimpin zaman kini.
Arwah Tok Ngulu Mi bersama isterinya, Kak Yah |
Nama yang diberi adalah Allahyarham Mohd
Suhaimi Bin Said. Beliau dilahirkan pada 4 Januari 1955 di Tanah Merah,
Kelantan. Dari kecil arwah memang menetap di Tanah Merah dan mendirikan rumah
tangga Bersama isteri tercintanya yang dikenali dengan nama Kak Yah dan keluarga
arwah juga masih menetap di Jalan Kubur Tanah Merah, Kelantan. Arwah dahulunya
merupakan seorang Penghulu Kampung JKKP Mukim Banggol Jenerih. Arwah juga seorang
yang mempunyai Pendidikan kelulusan MCE (Malaysia Certificate of Education).
Walau pendidikannya tidaklah sehingga ke
puncak menara gading, tetapi adab dan resam melayu dulu kala yang sopan santun,
menghormati dan mengambil berat tentang sekitar telah membuatkan arwah seorang
yang disayangi. Sesungguhnya dari Dia kita datang, dan kepadaNya jualah kita
akan kembali. Arwah telah menghembuskan nafas yang terakhir dan telah kembali
ke Rahmatullah pada 17 Disember 2017.
Penulis sendiri sempat menziarahi dan
menetap wajah Arwah Tok Ngulu Mi yang senantiasa disenangi dan disayangi oleh masyarakat
di Tanah Merah umumnya dan Mukim Banggol Jenerih khususnya. Perkara ini
dinyatakan sendiri oleh Penghulu Kampung JKKP Mukim Banggol Jenerih yang
seterusnya yang mana tiada orang yang mampu untuk menggantikan arwah Tok Ngulu
Mi dan melaksanakan tanggungjawab sebagaimana arwah dahulu.
Pelbagai program kemasyarakatan dan
khidmat arwah terhadap penduduk di Banggol Jenerih khususnya. Dari sekecil-kecil
program seperti mencari dan memberi bantuan kepada penduduk untuk golongan
kurang bernasib baik atau yang mempunyai penyakit kronik sehingga kepada
program yang melibatkan seluruh penduduk kampung Banggol Jenerih seperti jamuan
raya.
Arwah Tok Ngulu Mi bersama penduduk dalam program Asyura Banggol Jenerih |
Antara kebajikan Ikon Komuniti ini
pernah laksanakan dengan kudratnya semasa masih bernafas antaranya adalah program
Sehari Bersama Komuniti, Gotong Royong Perdana Perangi Aedes, Program JKKP YB
Dato’ Sri ADUN dan Penduduk Kampung Banggol Jenerih. Antara jasa arwah sepanjang
perkhidmatanya juga adalah melaksanakan baikpulih jalan rosak di Mukim Banggol
Jenerih, bantuan kepada orang kurang upaya, penduduk yang mempunyai penyakit
kronik seperti ibunda penulis yang menerima bantuan daripada pihak penduduk dan
ADUN melalui arwah Tok Ngulu Mi dahulu. Antara lainya juga adalah mengesan dan
memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan keluarga yang kurang
berkemampuan.
“…Bersatu padulah antara satu sama lain untuk memastikan silaturrahim sesama kita sentiasa baik…” antara kata-kata arwah kepada komuniti pada satu ketika dahulu. Ingatlah, jasa seseorang kepada komuniti amat bermakna jika dibandingkan hanya berjasa kepada diri sendiri sahaja.
Al-Fatihah buat Pemimpin Hebat ini.
No comments:
Post a Comment