Monday, July 27, 2020

ARWAH ‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT

ARWAH ‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT

Penyayang dan berwibawa, itulah bagaimana seorang Ikon Komuniti yang bernama Allahyarham Suhaimi atau dahulunya panggilan mesranya Tok Ngulu Mi. Arwah merupakan salah seorang ikon komuniti yang pada hemat saya sendiri merupakan pemimpin atau Ketua Penghulu yang memang mementingkan kebajikan masyarakat terutamanya yang dari golongan keluarga yang susah. Penampilan dan gaya yang cukup bersahaja dan mudah mesra dengan masyarakat, baik yang tua mahupun yang muda. Ketelusan Arwah apabila melaksanakan tanggungjawab perlu dicontohi oleh pemimpin zaman kini.


Arwah Tok Ngulu Mi bersama isterinya, Kak Yah


Nama yang diberi adalah Allahyarham Mohd Suhaimi Bin Said. Beliau dilahirkan pada 4 Januari 1955 di Tanah Merah, Kelantan. Dari kecil arwah memang menetap di Tanah Merah dan mendirikan rumah tangga Bersama isteri tercintanya yang dikenali dengan nama Kak Yah dan keluarga arwah juga masih menetap di Jalan Kubur Tanah Merah, Kelantan. Arwah dahulunya merupakan seorang Penghulu Kampung JKKP Mukim Banggol Jenerih. Arwah juga seorang yang mempunyai Pendidikan kelulusan MCE (Malaysia Certificate of Education).

Walau pendidikannya tidaklah sehingga ke puncak menara gading, tetapi adab dan resam melayu dulu kala yang sopan santun, menghormati dan mengambil berat tentang sekitar telah membuatkan arwah seorang yang disayangi. Sesungguhnya dari Dia kita datang, dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Arwah telah menghembuskan nafas yang terakhir dan telah kembali ke Rahmatullah pada 17 Disember 2017.

Penulis sendiri sempat menziarahi dan menetap wajah Arwah Tok Ngulu Mi yang senantiasa disenangi dan disayangi oleh masyarakat di Tanah Merah umumnya dan Mukim Banggol Jenerih khususnya. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Penghulu Kampung JKKP Mukim Banggol Jenerih yang seterusnya yang mana tiada orang yang mampu untuk menggantikan arwah Tok Ngulu Mi dan melaksanakan tanggungjawab sebagaimana arwah dahulu.

Pelbagai program kemasyarakatan dan khidmat arwah terhadap penduduk di Banggol Jenerih khususnya. Dari sekecil-kecil program seperti mencari dan memberi bantuan kepada penduduk untuk golongan kurang bernasib baik atau yang mempunyai penyakit kronik sehingga kepada program yang melibatkan seluruh penduduk kampung Banggol Jenerih seperti jamuan raya.


Arwah Tok Ngulu Mi bersama penduduk dalam program Asyura Banggol Jenerih


Antara kebajikan Ikon Komuniti ini pernah laksanakan dengan kudratnya semasa masih bernafas antaranya adalah program Sehari Bersama Komuniti, Gotong Royong Perdana Perangi Aedes, Program JKKP YB Dato’ Sri ADUN dan Penduduk Kampung Banggol Jenerih. Antara jasa arwah sepanjang perkhidmatanya juga adalah melaksanakan baikpulih jalan rosak di Mukim Banggol Jenerih, bantuan kepada orang kurang upaya, penduduk yang mempunyai penyakit kronik seperti ibunda penulis yang menerima bantuan daripada pihak penduduk dan ADUN melalui arwah Tok Ngulu Mi dahulu. Antara lainya juga adalah mengesan dan memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan keluarga yang kurang berkemampuan.

 

“…Bersatu padulah antara satu sama lain untuk memastikan silaturrahim sesama kita sentiasa baik…” antara kata-kata arwah kepada komuniti pada satu ketika dahulu. Ingatlah, jasa seseorang kepada komuniti amat bermakna jika dibandingkan hanya berjasa kepada diri sendiri sahaja. 

Al-Fatihah buat Pemimpin Hebat ini.


By                          :  Muhammad Hamizan Bin Mohd Faudzi
Matriks Num.     :  2017524285 

Wednesday, July 1, 2020

PEMIMPIN TANPA BERILMU IBARAT PATUNG TANPA JIWA: KHAIRUL ZAMRI BIN HAJI JAMAL

NAMA: SHAFIZAT BIN SIRWIRASIRHASHS
NO MATRIK : 2017779633


PEMIMPIN TANPA BERILMU IBARAT PATUNG TANPA JIWA: KHAIRUL ZAMRI BIN HAJI JAMAL



PENGENALAN TENTANG KHAIRUL ZAMRI BIN HAJI JAMAL

PEMIMPIN TANPA BERILMU IBARAT PATUNG TANPA JIWA ialah kata-kata semangat yang memotivasikan dirinya sehingga menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan berdedikasi dalam segala tadbir urus aktiviti kemasyarakatan Beliau memegang jawatan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Sebagai Ketua Kampung di Pekan Jeram Kuala Selangor daripada tahun 2017 sehingga kini. Peranan yang dimainkan oleh seorang tokoh masyarakat yang terkenal kerana komitmen tanggungjawab yang tinggi dalam menggalas tugas dan keperibadiannya yang sangat sederhana terhadapa masyarakat sekeliling. Beliau juga rajin ,peka dan berperanan merubah cara berfikir masyarakatnya. Sifat kesungguhannya dengan kerja kuat amal kebajikan yang boleh menjadi contoh seorang peribadi yang sangat sederhana, disegani serta disayangi oleh masyarakatnya. 

KHAIRUL ZAMRI BIN HAJI JAMAL dilahirkan di Pekan Jeram, Kuala Selangor, pada 9 Januari 1971. Beliau merupakan anak watan Negeri Selangor dan tinggal mastautin mempunyai asset rumah dan tanah di Jeram lebih dua dekad yang lepas bersama keluarganya. Khairul Zamri mendapat pendidikan awal di SK Jeram dari darjah satu hingga enam kemudian meneruskan pelajaran menengah di SMKA Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


 


Beliau meneruskan pengajian tinggi Diploma dalam bidang Occupational Safety and Health di University of Malaya dan begraduasi pada tahun 2000.  Pada tahun 2001, beliau mendapat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi sarjana muda dalam bidang Industrial Safety and Health di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Kuala Lumpur. Selepas tamat pengajian, beliau pernah mendapat Latihan kepolisan, keselamatan dan disiplin dari PULAPOL Jalan Semarak Kuala Lumpur (Kursus Pegawai Kanan Polis) dan Kursus Penyiasatan Jenayah PDRM. Beliau juga telah mendapat kekompetenan Pegawai Safety & Health dengan lulus peperiksaan 4 tahap di NIOSH Bangi. Pada tahun 2004 hingga 2008, beliau pernah mendapat Latihan dan kursus berkaitan pematuhan kualiti standard berkaitan.

ISO 9001. Pada tahun 2011, beliau pernah mendapat pendedahan kursus dalam mempraktiskan Project Risk Assessment Ketika berkhidmat sebagai Ketua Unit Enforcement dalam Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan SPNB. Beliau juga pernah menjadi pensyarah jemputan selama 8 tahun di PERHEBAT (Kementerian Pertahanan Malaysia) bagi subjek Penubuhan Entiti Perniagaan, Undang-undang Perniagaan dan Eksport dan Import melalui firma Khazam & Associates.

Dalam kegiatan kemasyarakatan, Khairul Zamri bin Haji Jamal sentiasa berkhidmat kepada masyarakatnya sama ada atas kapasitinya sebagai Ketua Kampung, Pengerusi MPKK, Wakil Ketua Anak Negeri iaitu jawatan-jawatan yang pernah disandangnya.

Beliau seorang yang gigih berjuang untuk kebaikan, kebajikan dan maslahat penduduk kampung di daerah Pekan Jeram. Sebagai mengiktiraf jasa baktinya, beliau pernah dikurniakan anugerah MPKK terbaik dengan nilai skor sebanyak 91% tertinggi dikalangan Pengerusi dan Ketua Kampung di Daerah Kuala Selangor dan Negeri Selangor pada tahun 2019.




AKTIVITI KEMASYARAKATAN TOKOH YANG DISEGANI DAN DIHORMATI RAMAI

26/6/2020 Pengerusi MPKK Pekan Jeram, Penghulu Mukim Jeram, Pegawai Pejabat Agama Islam Kuala Selangor dalam aktiviti serahan sumbangan barangan dan mendekati komuniti setempat yang kurang bernasib baik.


1 Jun 2020 : Ketua-ketua Biro MPKK Pekan Jeram menerima sumbangan Bantuan  Kewangan Dari Kerajaan Selangor yang disampaikan Pengerusi MPKK.Ianya suatu mechanism motivasi & menggarap tugasan dengan lebih cemerlang.

Moving forward with team work & work smart. "People Cares ".


Pengerusi MPKK Pekan Jeram bersama dalan Mesyuarat Penyelaras Mukim Jeram Daerah Kuala Selangor bagi membincangkan urusan pentadbiran desa.



Sebahagian penduduk dari golongan B40, ibu tunggal, asnaf dan keluarga memerlukan menerima sumbangan bagi terjejas covid-19 pada 20/4/2020


20/4/2020 jam lebih kurang 11.30 pagi berlaku kebakaran kebun di Jalan Andak Daom berhadapan tiang TNB 29 & TNB 30.Lebih 1/4 ekar sawit dan serai terbakar.Sikap tidak bertanggungjawab menyebabkan kebun berhampiran turut terkesan.Pengerusi MPKK telah menghubungi pihak BOMBA selain hebahan segera dalam group whatsapp.



Menyampaikan sumbangan korporat CSR kepada puluhan keluarga warga dibawah pentadbiran MPKK Pekan Jeram bagi kepayan ekonomi covid-19 pada 23 & 24/3/2020




Harapan Beliau Pada Masa Hadapan

Diharapkan mendapat kelulusan kerajaan negeri bagi membangunkan Pusat Inkubator Usahawan Desa Jeram di Pekan Jeram, Kuala Selangor. Sekiranya ini Berjaya, ianya akan dapat memberi manfaat kepada usahawan kecil dan nelayan yang ada minat keusahawanan untuk menjadi peniaga yang berjaya dan secara tidak langsung dapat menyumbang bakti kepada ekonomi negara.


Thursday, June 25, 2020

IKON KOMUNITI : PEMIMPIN PERSATUAN BELIA SERUMPUN BAYAS (PBSB) LANGKAWI - Pengerusi Belia Penggerak Wawasan Negara


Oleh:  Syazlin binti Suhaimi, 2017130935



PERSATUAN BELIA SERUMPUN BAYAS (PBSB)


Pengenalan Ikon Komuniti

Persatuan didefinisikan sebagai anggota yang pakar atau mahir dan mempunyai pengetahuan yarp mendalam dalam sesuatu bidang (Kamus Dewan Edisi Keempat). Persatuan wujud dalam pelbagai komuniti di Malaysia. Ianya ada pada peringkat sekolah, peringkat kebangsaan, peringkat masyarakat, peringkat kebangsaan dan sebagainya. Setiap persatuan akan menyediakan satu perancangan secara tahunan bagi menjalankan aktiviti dan ianya pasti melibatkan duit. Oleh itu, pengumpulan dana adalah perlu dan penting bagi memastikan pengumpulan dana itu berjalan dengan lancar. Salah satu cara untuk mendapatkan sumber kewangan dalam sesuatu kelab adalah melalui kutipan yuran tahunan melalui ahli di dalam persatuan tersebut. Cara ini banyak digunapakai oleh pelbagai kelab bagi memastikan dana kelab dan sentiasa mencukupi bagi menjalankan aktiviti. Selain dari cara ini terdapat juga beberapa cara Iain yang boleh seperti kutipan derma, hasil jualan, sumbangan dari pihak luar dan sebagainya.

Secara ringkas pengenalan bagi Persatuan Ikon Komuniti yang dipilih adalah Persatuan Belia Serumpun Bayas (PBSB) iaitu Persatuan Belia yang menggabungkan 3 komuniti kampong iaitu Kampung Mata Air, Kampung Perana, Kampung Bayas. Ahli-ahli daripada Persatuan PBSB berumur dalam lingkungan 15 tahun sehingga 35 tahun. Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 2003. Persatuan ini juga telah memenangi beberapa pertandingan Persatuan Belia Peringkat Negeri dan Kebangsaan. Sumber kewangan persatuan ini diperolehi di bawah Pejabat Belia Daerah Langkawi dan wakil rakyat Langkawi. Tujuan utama persatuan ini dibina adalah untuk mengeratkan hubungan belia setempat dan komuniti kampung.


Persatuan Belia Serumpun Bayas (PBSB) : Menggabungkan 3 komuniti kampung di Langkawi  Kedah Darul Aman iaitu Kampung Mata Air, Kampung Perana, Kampung Bayas.



Biografi Ikon Komuniti



Profil & Kelayakan Pengerusi Ikon Komuniti :

 

Ikon Komuniti : Nama yang diberi adalah Mohammad Amri bin Othman, merupakan anak ke 8 daripada 11 orang, berumur 29 Tahun, mempunyai Diploma & Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Matematik Pengkomputeran. Graduasi daripada UiTM Shah Alam, berasal dari Langkawi, memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Belia Serumpun Bayas (PBSB) dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Permuafakatan Mahasiswa Anak Langkawi.  Tempoh memegang jawatan Pengerusi Belia bermula pada tahun 2017 sehingga kini. Manakala Pengerusi Permuafatkatan Mahasiswa Langkawi bermula tahun 2014 hingga sekarang. Ikon Komuniti yang dipilih ini adalah berdasarkan keaktifan beliau di dalam apa jua persatuan yang diceburi, ia merupakan belia yang sentiasa bergiat aktif di dalam bidang kepimpinan di dalam sesebuah komuniti.


 

Pengalaman Pengerusi Ikon Komuniti:

 

  • Menjadi seorang pensyarah di Kolej Komuniti Langkawi 2015 hingga 2019, dalam bidang Matematik & Teknologi Maklumat.

 

  • Pernah menjalankan latihan industry selama 6 bulan Dewan Parlimen Malaysia beralamat di Menara Parlimen Malaysia.

 

  • Pernah melibatkan diri dalam bidang pembinaan bersama Johor Coperation selama setahun.



  •  Pernah menerima Anugerah Sebagai Tokoh Pelajar dan turut menerima Anugerah Pelajar Kokurikulum Terbaik di Daerah Langkawi.

 

  • Turut melibatkan diri dalam IronMan Langkawi Extreme Challenges

 

  • Sebagai peserta Wildeness Adventure Malaysia mewakili Negeri Kedah.

 

  • Pernah mewakili Negeri Kedah dalam Program Nadwah Kepimpinan Pelajar-Pelajar Islam di Negeri Sabah

 

  • Pernah menganjurkan program Warna Warni Larian Amal Charity Run (Colourity Run)

 

  • Turut membantu barisan hadapan dalam menyediakan pelindung muka (Face Shield) bagi memerangi pandemic Covid-19




Keluarga Ikon Komuniti / Aktiviti Komuniti: 

 





Tagline Persatuan:  

 





Persatuan Ikon Komuniti 

Belia Penyambung Warisan

 

 

Slogan:

Belia Penggerak Wawasan Negara

 

“MENJADI SEORANG BELIA DAN ANAK MUDA KITA SEHARUSNYA MEMPUNYAI JATI DIRI YANG TEGUH KERANA KITA MERUPAKAN PELAPIS MASA HADAPAN YANG AKAN MEMACU NEGARA”.

 

 

Maklumat Carta Organisasi:

PERSATUAN BELIA SERUMPUN BAYAS (PBSB)

 

 


 

Sumber: Minit Mesyuarat Agung Tahun 2020 Persatuan Belia Serumpun Kampung Bayas, Mukim Ulu Melaka, 07000 Langkawi, Kedah Darul Aman.

 


Tahun persatuan dilaksanakan :

Sijil Pendaftaran 3 Julai 2003

 

 

 

 

VISI:

“Bermatlamat agar  menwujudkan hubungan baik diantara belia dan komuniti kampung agar dapat mengeratkan hubungan saksama serta menjadi pemangkin masa hadapan.

MISI:

“Persatuan komuniti ini dianjurkan sejajar dengan matlmat untuk meremajakan hubungan yang dapat berdaya saing, dinamik dan memenuhi kehendak semasa. Maka persatuan ini menjadi platform untuk belia membina sifat kepimpinan dalam diri bagi memenuhi dan menghadapi keperluan semasa serta menjalinkan ukhuwwah antara komuniti.”

 

OBJEKTIF:

1)      Meningkatkan nilai jati diri pemimpin belia serta memantapkan diri menuju impian menjadi insan kamil dari pelbagai aspek.

2)    Untuk memastikan belia membina hubungan baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang sama.

3) Membolehkan persatuan komuniti mengembangkan dan membaiki kemahiran berfikir seperti menjelaskan, menganalisis dan menilai perbincangan.

4)   Membolehkan persatuan mengenalpasti dan menganalisis masalah dalam situasi kompleks dan abur serta membuat penilaian yag berjustifikasi dalam pembangunan komuniti. 

5)   Memberi peluang kepada belia mengembangkan kreativiti dan membimbing belia menghayati dan mengamalkan untuk pembangunan usahawan.

6)   Memperkasakan matlamat belia untuk melahirkan insaniah yang berdaya saing dan produktif pada masa akan datang.

 

FUNGSI PERSATUAN BELIA SERUMPUN BAYAS (PBSB)

 

Ø  Menjadikan persatuan komuniti sebagai satu tonggak utama dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti kampung.

Ø  Fungsi persatuan ini adalah sebagai penggerak kepada anak muda dalam berinteraksi dengan masyarakat komuniti setempat.

Ø  Merupakan satu inisiatif kepada komuniti belia setempat iaitu Kampung Bayas, Kampung Perana, Kampung Mata Air dan Kampung Bukit Temin, tujuannya adalah menambahbaik aktiviti di kampong dengan mengisi masa luang belia agar tidak melibatkan diri ke arah negatif.

Ø  Sebagai pendorong utama untuk wujudnya hubungan silaturahim antara satu sama lain. Pada masa yang sama, mewujudkan satu komuniti dan masyarakat yang sentiasa memberi kerjasam, memberikan pandangan, memberi pendapat walaupun dari kampong yang berbeza. Melahirkan sebuah komuniti yang saling bertolak ansur, saling memahami, saling memberi bantuan kepada penduduk kampong yang memerlukan.  

Ø  Menjayakan aktiviti kampung dengan lebih strategik di mana menguatkan semula fungsi Rukun Tetangga dimana ia melibatkan semua warga komuniti kampung tak kira tua dan muda.

 

 Contoh Aktiviti Komuniti Persatuan Belia Serumpun Bayas (PBSB)

 

1. Mesyuarat Tentatif Program Tahunan. Setiap perjalanan program tahunan akan dibincang sebelum masuk tahun baru

 

 

 

2. Aktiviti gotong-royong bersama Komuniti Kampung & Komuniti Anak Muda

 


 

3. Program bubur lambuk tahunan setiap ramadhan. Persatuan PBSB bayas menjadi tunggak utama dlm penyediaan bubur lambuk

 

 

4. Aktivit Sukan Persatuan Belia Serumpun Bayas

 

 

 



5. Membincangkan program komuniti bersama ibubapa. Menjalankan program anak angkat. Serta memberi bantuan asas kepada penduduk komuniti yang memerlukan. 

 

 


6. Turut menyumbang tenaga dalam menghasilkan topeng muka (Face Shield) bagi memberi Face Shield kepada barisan hadapan bagi memerangi Covid-19.

 

 

 

 

 

 

PERSATUAN BELIA SERUMPUN BAYAS

        DEWAN ORANG RAMAI KAMPUNG BAYAS,  MUKM ULU                      MELAKA 07000 LANGKAWI KEDAH DARUL AMAN

 

 

 

 

Belia Penggerak Wawasan Negara

 





Sumber Rujukan:

Menggunakan kaedah menemuramah (interview) bersama Pengerusi Persatuan melalui aplikasi media social WhatsApp (voice note, video call) 


 

Wednesday, June 24, 2020

LEGASI ULAMA’ (ILMUAN) DAN UMARA’ (PEMIMPIN) KE PERMATANG PASIR : YB FAIZ FADZIL MUHAMMAD NOOR

Oleh : Ahmad Arifin bin Shakimin

Bersahaja atau ‘sempoi’ mengikut loghat utara merupakan personaliti yang ditampilkan oleh Yang Berhormat Muhammad Faiz bin Fadzil. Sikap mesra melalui berseloroh bukan sahaja dalam kalangan kawan dan masyarakat sahaja, bahkan dalam kalangan seteru politknya juga. Penampilan seperti orang awam serta individu yang tidak mementingkan protokol dan layanan rasmi dalam urusan sehariannya termasuk urusan kerja menyebabkan beliau mudah didekati oleh sesiapa sahaja. Beliau yang mempunyai susur galur kekeluargaan dengan tokoh ilmuan dan pemimpin dimana sebuah dewan dinamakan sempena nama bapanya Almarhum Yang Berhormat Ustaz Fadzil Muhammad Noor.

 

YB Faiz Fadzil Muhammad Noor, ADUN Permatang Pasir

 

Serba sedikit berkaitan kehebatan keluarga ini selain daripada ketokohan dan sumbangan almarhum bapanya di persada tanah air, beliau juga mempunyai adik beradik yang tidak kurang hebatnya. Bak kata pepatah Melayu, ‘bapa borek anak rintik’. Beliau merupakan putera kelima daripada lapan (8) orang anak Almarhum Ustaz Fadzil Muhammad Noor. Beliau mempunyai seorang adik diberi nama Ahmad Fauwaz, seorang tokoh ilmuan yang banyak menghiasi slot bual bicara agama di televisyen seperti Astro Al-Hijrah dan corong-corong radio seperti IKIM.

 

Sejarah panjang arwah bapanya yang sudah menempa nama di utara tanah air dengan hasil didikan yang baik keatasnya, beliau memulakan perjalanan pengajiannya di menara gading pada tahun 1996 dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1999. Beliau merangkul segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Fakulti Ahmad Ibrahim Kulliyah of Law (AIKOL). Beliau memulakan kariernya dalam bidang perundangan dengan menubuhkan Faiz Fadzil & Co pada tanggal 4 Mac 2008, firma guaman beliau sendiri terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau telah mempunyai pasangan hidup yang bernama Noralis binti Mat dan dikurniakan dua (2) cahaya mata, seorang putera dan seorang puteri.

 

Keterlibatan beliau secara aktif di lapangan sejak 2014, beliau berjaya membina nama dan watak yang menjadi penyumbang kepada penamaan beliau sebagai calon Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018. Beliau berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Negeri Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 sekaligus meneruskan legasi ketokohan bapanya di kawasan utara semenanjung Malaysia. Rentetan daripada itu beliau mendapat kepercayaan mengepalai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Oktober 2019. Perlantikan ini dilaksanakan oleh pihak kementerian berdasarkan merit dan kaliber yang ada pada sosok tubuh Yang Berhormat Faiz Fadzil.

 

Ketika beliau menyandang posisi sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada Oktober 2018, beliau telah menyusun peningkatan bagi skim Bantuan Sara Hidup buat para nelayan di seluruh Malaysia. Bantuan Sara Hidup yang pada asalnya pada kadar RM200 berjaya ditingkatkan kepada RM250 bagi seorang nelayan di seluruh negara dalam tempoh lapan (8) bulan kelolaannnya. Amalan pemberian Bantuan Sara Hidup ini merupakan usaha yang disambung dari pengurusan sebelumnya. Adapun penambahbaikan demi penambahbaikan dijalankan bagi memastikan bantuan kepada komuniti nelayan dipertingkat dan diperkuat.

 

Majlis Ramah Mesra dan Sumbangan Touch Point Pukat Kepada Nelayan Manjung Selatan

 

 

Antara usaha lain yang dijalankan semasa kendalian beliau di LKIM adalah menamatkan amalan ‘orang tengah’ dalam menguruskan hasil pendaratan ikan di kalangan nelayan dan perkenalkan amalan ‘family bussines’. Amalan sebelum ini adalah setiap nelayan akan menyerahkan hasil pendaratan ikan kepada orang tengah dimana mereka akan mengagihkan hasil tersebut di pasar-pasar sekitar dengan pengiraan untung yang sangat minima bagi setiap tan hasil pendaratan ikan. Hasil daripada itu, setiap nelayan dipohon untuk meminta bantuan isteri atau ahli keluarga yang sudi menjualkan hasil pendaratan ikan tersebut supaya pendapatan yang diperoleh hasil jualan dapat dimaksimakan setimpal dengan usaha yang digembeleng di tengah lautan. LKIM mengambil inisiatif setiap jeti wajib mempunyai pasar tersendiri dan ini sekaligus memberi impak ekonomi dari aspek peningkatan per kapita penduduk khusus nelayan dan mengurangkan kadar pengangguran.

 

Manakala dari sudut beliau sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, di bawah kendalian beliau terdapat 12 Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK). Kesemua MPKK diketuai oleh ketua kampung dimana mereka menjadi penghubung atau penyampai makluman kepada Pejabat DUN perihal keperluan penduduk. Antara amalan kebiasaan yang diteruskan dari pendtabiran sebelumnya adalah menyediakan fasiliti yang boleh digunapakai, disewa dengan harga yang murah atau dipinjamkan bagi keperluan penduduk. Antara kemudahan yang disediakan oleh pihak ADUN adalah seperti kanopi bagi kegunaan majlis kenduri, doa selamat dan sebagainya bagi penduduk kampung yang disewakan atau dipinjamkan. Fasiliti-fasiliti ini diperkukuhkan dan juga keluh-kesah masyarakat lebih diambil cakna dan lebih membumi.


Antara peranan lain yang dimainkan oleh YB Faiz Fadzil sebagai ADUN Permatang Pasir, beliau mensasarkan generasi baru di Permatang Pasir adalah sifar jahil. Sasaran ini adalah menyasarkan golongan muda khusus di bangku sekolah dengan membuka akses pendidikan kepada mereka. Usaha yang dijalankan seperti Tuisyen Rakyat Percuma. usaha ini sudah dijalankan selama dua (2) tahun sejak beliau mengambil alih kerusi DUN Permatang Pasir sejak 2018 hingga kini. Menjadikan usaha ini lebih holistik dan segar adalah kerana kerjasama yang beliau inisiatifkan bersama sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dianggotai sebilangan anak muda yang diberi nama Penggerak Komuniti Muda (PEKA) berpengkalan di Pulau Pinang. Para guru diambil dalam kalangan warga tempatan yang sudi mengajar diluar waktu pembelajaran dan sebahagian guru juga adalah dalam kalangan graduan yang masih segar keluar dari kampus. Segala pembiayaan adalah usaha yang digerakkan oleh beliau sendiri sebagai wakil rakyat di kawasan itu.



Poster Hebahan dan Promosi Tuisyen Rakyat Percuma Di Permatang Pasir

 

Akhir kata, “politik nilai mengangkat agenda baik kepada rakyat dan betul untuk negara”. Demikian merupakan kalam Yang Berhormat Faiz Fadzil, ADUN Permatang Pasir yang dapat dinukilkan dan menjadi rumus kepada penulisan ini. Kalam ini menjadi pandu arah kepada setiap tingkah mengurus dan mentadbir masyarakat dengan baiknya dan batu sempadan kepada sebarang salah laku, korupsi dan culas pada amanah masyarakat.


ARWAH ‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT

ARWAH ‘TOK NGULU MI’ PEMIMPIN BERWIBAWA DAN SAYANGKAN MASYARAKAT Penyayang dan berwibawa, itulah bagaimana seorang Ikon Komuniti yang bern...